Soalan

Ustaz,

Saya mengalami kemalangan motosikal baru-baru ini. Akibatnya saya mengalami kecederaan yang agak teruk di buku lali dan lutut sebelah kaki kiri saya. Bagaimana harus saya mengerjakan solat? Untuk Makluman, saya mampu berdiri dan rukuk serta duduk
secara melunjurkan kaki. Namun dengan keadaan lutut dan buku lali saya ini, saya tidak mampu untuk membengkokkan kaki.
Maknanya saya tidak dapat hendak sujud atau duduk tahiyat dengan betul. Oleh itu bagaimana cara terbaik untuk saya mengerjakan
solat?

-Fahami

Jawapan

Sembahyang adalah satu-satunya ibadat yang mesti dilakukan walaupun seseorang itu sakit selagi akal dan ingatannya masih berfungsi dan waras. Jadi kalau seseorang itu sakit dan tak mampu berdiri hendaklah solat dengan duduk, kalau tak mampu duduk hendaklah berbaring, kalau tak mampu juga hendaklah dengan terlentang. Mengenai persoalan yang diajukan oleh Fahami, saudara boleh melakukan sembahyang mengikut kemampuan saudara iaitu sambil berdiri dan apabila hendak melakukan sujud, saudara hendaklah tunduk setakat yang saudara mampu (jangan paksa diri kalau dah sakit) dan apabila sampai kepada tahiyyat awal atau akhir saudara boleh duduk secara melunjurkan kaki dan lakukan sembahyang seperti biasa. Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Itulah keunikan Islam berbanding dengan agama lain. 

-USTAZ MOHD SAIPUDIN HASSAN

Wallahu a`lam