Make your own free website on Tripod.com

Kaedah kaunseling 2
Puan Asmah Bee Mohd Noor

Antara kaedah kaunseling dalam pendekatan affektif yang popular ialah kaunseling pemusatan-insan (person-centered counseling) diikuti dengan kaunseling ‘existential’ dan terapi gestalt. Pendekatan kaunseling pemusatan-insan diperkenalkan oleh Carl Rogers yang dibesarkan di Illinois, Amerika Syarikat dalam keluarga Kristian.

Ahli dalam pendekatan ini mempercayai bahawa manusia adalah untuk yang baik. Manusia mempunyai ciri-ciri peribadi positif, konstruktif, sentiasa bertindak maju ke hadapan, realistik dan boleh dipercayai. Setiap insan sedar dan mempunyai daya gerakan untuk mencapai ‘penghakikian kendiri’ (self-actualization). Pada pendapat Rogers, penghakikian kendiri merupakan arah motivasi yang mengarahkan tingkahlaku manusia yang mempengaruhi dirinya sebagai manusia keseluruhannya. Setiap insan mempunyai kecenderungan asas untuk berusaha mencapai penghakikian diri sebenar. Ahli teori pemusatan-insan percaya setiap insan berupaya untuk mencari makna peribadi diri dan tujuan kehidupan di muka bumi ini.

Peranan kaunselor dalam pendekatan ini dikatakan bersifat holistik atau keseluruhan. Kaunselor akan menentukan dan membentuk suasana di mana klien merasai bebas untuk menerokai keseluruh aspek dirinya. Kaunseling dalam pendekatan ini memberikan  tumpuan kepada hubungan kaunselor dan klien. Kaunselor sentiasa berhati-hati dan sedar dengan bahasa, perkataan dan gerakbalas klien.

Pendekatan pemusatan-insan ini berjaya untuk mengatasi pelbagai masalah upaya umpamanya masalah kepimpinan. Penyesuaian psikologikal, masalah pembelajaran, frustrasi dan berjaya menolong mengurangi sifat-sifat defensif.
 

Pendekatan Tingkah Laku

Ahli teori dengan menggunakan pendekatan tingkah laku memberikan tumpuan kepada pelbagai bentuk tingkah laku klien. Ahli-ahli dalam pendekatan ini percaya manusia mempunyai masalah disebabkan ketidakupayaan untuk mengubah tingkah laku sesuai dengan kehendak persekitaran. Kaunselor yang menggunakan kaedah tingkah laku berusaha untuk menolong kliennya sama ada menpelajari sesuatu yang baru, bertingkah laku secara diterima atau cuba untuk memodifikasi atau menghapuskan tingkah laku yang keterlaluan.

Pendekatan tingkah laku selalu digunakan ke atas individu yang mempunyai masalah yang spesifik seperti kecelaruan makan, penyalahgunaan dadah, ketidakfungsian seksual dan beberapa kecelaruan lain termasuklah masalah ketakutan, tekanan, assertif, keibubapaan dan interaksi sosial.

B.F Skinner merupakan tokoh terkemuka yang menggunakan pendekatan tingkah laku. Beliau dilahirkan di Pensylvania, Amerika Syarikat. Kebanyakan teori yang dibentuk oleh Skinner berpunca daripada kajian ke atas binatang. Skinner percaya pembelajaran merupakan penentuan paling asas berhubung dengan tingkah laku manusia.

Ahli kaunseling dengan pendekatan tingkah laku percaya bahawa semua tingkah laku yang diperhatikan oleh individu sama ada yang sesuai atau tidak adalah dipelajari. Peranan kaunselor dalam pendekatan tingkah laku adalah aktif sepanjang sesi kaunseling. Klien akan belajar, kadang kala tidak belajar atau belajar semula tatacara yang khusus untuk tingkah laku.
 

Dipetik dari Kertas Kerja Metodologi Kaunseling Dalam Menangani Masalah Akidah Umat Islam Masa Kini, Puan Asmah Bee Mohd Noor yang dibentangkan dalam Muzakarah Kaunseling dan Pemantapan Akidah 1999 pada 12 November 1999 bertempat di Langkawi, Kedah.