Make your own free website on Tripod.com

Date: 18 Jan 2002, Friday

Berita Harian : Kesihatan

Garis panduan proses ubat mengikut Islam
Oleh Rohaniza Idris

MALAYSIA mengeluarkan garis panduan bersama dengan Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura mengenai Kawalan Ubat-ubatan dalam Islam.

Mengikut garis panduan itu, kefahaman dan penghayatan mengenai halal dan haram dalam aspek perubatan sangat penting dan perlu diberi perhatian semua pihak.



Garis panduan itu menetapkan orang Islam perlu memahami prinsip perubatan iaitu kuasa penyembuh bagi sesuatu penyakit itu ialah Allah.

Manusia pula hanya dikehendaki berikhtiar mengubati penyakit dan cara mengubati penyakit mesti tidak bertentangan prinsip Islam.



Penggunaan ilmu hitam, atau lain cara yang ditegah Allah adalah dilarang.

Ubat-ubatan yang digunakan dalam perubatan perlu sesuai dengan Islam seperti suci daripada najis/bernajis, kecuali dalam keadaan terpaksa.

Sehubungan itu, Islam menggalakkan umatnya menjaga diri daripada terkena penyakit. Ini kerana mencegah lebih baik daripada mengubat.



Mengikut kertas kerja dalam laman web Jabatan kemajuan Agama Islam (Jakim), garis panduan itu menetapkan sumber ubat kepada beberapa kelompok, iaitu manusia, haiwan, tumbuhan, tanah dan air.



Sumber itu sering digunakan untuk menghasilkan bahan yang boleh dimanfaatkan sebagai ubat.



Namun, melalui teknologi moden sekarang, kebanyakan ubat menggunakan bahan sintetik.



Dalam Islam, ubat dikelaskan sebagai ubat yang halal apabila sumber yang digunakan sebagai bahan ubat adalah halal iaitu suci daripada najis mengikut hukum syarak dan digunakan untuk perubatan yang sah.



Mengikut hukum syarak, sumber ubat daripada manusia haram digunakan, kecuali dalam keadaan perlu dan tiada pilihan.



Bahan ubat yang terbit daripada sumber manusia yang membabitkan zat tertentu seperti hormon, serum, imunoglobulin dan sebagainya yang diambil dari tubuh manusia haram digunakan untuk membuat ubat.



Sumber ubat yang halal adalah daripada haiwan darat dan air. Namun, najis haiwan tidak boleh dijadikan ubat.



Sumber tumbuh-tumbuhan dan mikro-organisme di darat dan di air juga halal digunakan, kecuali yang beracun dan berbahaya.



Begitu juga semua sumber tanah dan air dan hasilnya (termasuk bahan galian) adalah halal digunakan kecuali yang beracun dan berbahaya.

Bahan ubat yang dihasilkan secara sintetik adalah halal kecuali yang beracun, berbahaya dan bercampur bahan bernajis.



Sumber eksipien adalah bahan tambahan yang diguna untuk memproses sesuatu bentuk atau jenis ubat, contohnya kanji, kulit kapsul, pelarut, gula, pewarna, perasa dan pengawet.



Bahan eksipien halal jika tidak mengandung bahan bernajis, haram, beracun dan berbahaya.



Dalam Islam, wujud pengecualian dalam penggunaan ubat.

Bahan haram dan bernajis diharamkan. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, di mana tidak ada bahan yang boleh dijadikan ubat bagi mengubati sesuatu penyakit, orang Islam diharuskan mengambil bahan yang haram untuk perubatan.



Pengecualian menggunakan bahan haram sebagai ubat, hendaklah menepati syarat berikut:



(a) Tidak ada atau sukar mendapatkan bahan halal untuk mengubati penyakit.

(b) Penggunaan bahan itu hendaklah berdasarkan arahan dan nasihat doktor.

(c) Pengambilan ubat daripada bahan haram hendaklah sekadar diperlukan.

Panduan itu turut menetapkan aspek kebersihan dalam penyediaan dan pengendalian ubat.



Ini kerana Islam sangat menitikberatkan kebersihan dan ia membabitkan aspek kebersihan diri, pakaian, peralatan, premis proses ubat.

Tujuannya ialah menjamin ubat yang dihasilkan tidak berbahaya.



Kebersihan boleh diertikan sebagai bebas daripada najis, kotoran dan kuman yang membawa penyakit. Antara beberapa aspek yang ditekankan ialah:

(a) Premis Pengilangan

Premis mengilang ubat mesti mempunyai reka bentuk dan binaan berciri mudah dibersih dan diselenggarakan, tidak berlaku campur aduk antara satu keluaran dengan keluaran lain.

Ia hendaklah ada pemisahan yang jelas di antara kawasan pengeluaran (bersih) dan kawasan di luarnya.

(b) Ada kawasan mencuci dan membasuh (termasuk tandas) yang cukup untuk pekerja. la perlulah dibina di kawasan sesuai di luar kawasan pengeluaran, dan ada sistem pengedaran udara yang berkesan.

(c) Bilik menukar pakaian perlu ada dan dilengkapi dengan tempat menyimpan barang. Bilik menukar pakaian perlu bersambung terus dengan kawasan pengeluaran.

(d) Tidak dibenarkan menyedia makan dan minum atau menyimpan makanan dan minuman dalam kawasan pengeluaran. Kegiatan ini hendaklah dihadkan dalam kawasan tertentu iaitu kantin atau bilik khas di luar kawasan pengeluaran. Kebersihan kawasan ini juga perlu dijaga setiap masa.

(e) Bahan buangan atau lebihan hendaklah dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul sampah bertutup yang sesuai dan dibuang di tempat buangan di luar bangunan.

Pembuangan dan pemusnahannya hendaklah mengikut cara yang betul.

(f) Kawasan pengeluaran hendaklah bebas daripada makhluk perosak tikus dan serangga yang boleh menjejaskan keluaran.

Racun serangga, racun tikus, agen fumigasi dan bahan pencuci sekiranya digunakan, hendaklah dipastikan tidak mencemar peralatan pengeluaran, bahan mentah, keluaran siap dan separuh siap serta peralatan lain yang digunakan dalam pengeluaran.

(g) Kebersihan kilang mesti diutama terutama daripada pencemaran sisa lebihan keluaran sebelumnya. Selepas pengeluaran, semua mesin, peralatan dan bilik yang digunakan hendaklah dicuci/dibersihkan sebelum memulakan pengeluaran seterusnya.

(h) Perlu diadakan arahan dan jadual bertulis bagi tatacara pembersihan dan pencucian untuk kawasan pengeluaran dan peralatan.



Peralatan

(a) Semua peralatan yang digunakan hendaklah dicuci di luar dan dalam mengikut prosedur ditetapkan.

Peralatan yang bersih hendaklah disimpan di tempat bersih.

(b) Sebelum mengguna peralatan berkenaan untuk pengilangan seterusnya, pastikan sekali lagi bahawa ia bersih dan tiada lebihan keluaran sebelumnya.

(c) Alat mesti dicuci dengan air bersih.



Pekerja

(a) Semua pekerja perlu diperiksa kesihatannya sebelum bekerja dan selepas bekerja.

(b) Semua pekerja hendaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik, terutama operator pengeluaran.

(c) Pekerja yang kurang sihat atau mempunyai kecederaan atau luka terbuka yang boleh menjejaskan mutu sesuatu keluaran, pekerja berkenaan tidak dibenarkan bekerja sehingga pulih.

(d) Sentuhan secara terus (direct contact) antara tangan pekerja dengan bahan mentah, keluaran separuh siap, atau keluaran pukal hendaklah dihindarkan.

(e) Pekerja perlu membasuh tangan selepas menukar pakaian dan kasut kilang di bilik menukar pakaian sebelum memasuki kawasan pengeluaran. Maklumat bertulis perlu diletakkan di kawasan ini.

(f) Merokok, makan, minum atau menyimpan makanan, minuman, rokok dan ubat hendaklah dilakukan di kawasan yang dikhaskan dan tidak dibenarkan di kawasan pengeluaran, makmal atau tempat yang boleh menjejaskan mutu keluaran.

(g) Mengikut prosedur penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, semua orang (termasuk pekerja tetap, pekerja sementara, kakitangan pengurusan dan pelawat) yang hendak masuk ke dalam kawasan pengeluaran mesti memakai pakaian khas untuk kilang.



Dalam penyediaan dan pengendalian ubat, perkara berikut perlu dipatuhi:

(a) Mesti mengandung jumlah bahan ubat yang tepat.

(b) Tidak dibenar mengganding bahan logam beracun.

(c) Tiada bahan yang tidak dinyatakan dalam formulasi.

(d) Tiada bahan tidak bermutu.

(e) Ubat seharusnya dibuktikan keberkesanannya.